Author Archives: Akademi AQSA

MAJLIS IHTIFAL AQSA 2016

Bagi menghargai dan merai usaha serta kejayaan anak-anak AQSA dalam hafalan Al-Quran dan pencapaian akademik, Majlis Ihtifal Kali ke-5 akan diadakan pada hari Sabtu (26 November) ini bertempat di dewan Maahad Tahfiz AQSA. Majlis Ihtifal Kali ke-5 ini mungkin lebih bermakna kerana tahun ini merupakan tahun terakhir bagi para pelajar Thanawi 5 berada di bumi AQSA sebelum keluar meneruskan perjuangan menimba ilmu di dunia luar yang lebih mencabar.

Walau di mana dan siapa pun anda (anak-anak AQSA), doa guru dan ibu bapa sentiasa mengiringi hidup kalian. Manfaatkanlah segala ilmu yang telah ditimba dengan sebaik-baiknya. Kejayaan yang berjaya diukir di AQSA hanya kayu ukur semata-mata, tetapi kejayaan yang sebenar ialah ilmu yang berjaya dimanfaatkan untuk diri sendiri dan orang lain.

Semoga program ini mendapat sokongan daripada para waris dan dapat dilangsungkan dengan jayanya. In sha Allah..

“Usaha Dihargai, Kejayaan Dirai”

PARA HAFIZ MUDA KELUARAN AQSA

para-hafiz

GAMBAR KELAS, HALAQAH, PELAJAR DAN GURU-GURU 2016

TEMUDUGA KEDUA PENGAMBILAN PELAJAR 2017

Sukacita dimaklumkan bahawa Temuduga Kedua Pengambilan Pelajar Thanawi/Tingkatan 1 bagi sesi 2017 akan diadakan pada 21 November 2016 (Isnin) akan datang.

Justeru, kepada para pelajar / ibu bapa yang berminat, sila dapatkan borang di pejabat dengan kadar segera.

Sebarang masalah/pertanyaan, boleh hubungi pejabat AQSA :
04-551 3807 atau 013-248 8043 (waktu pejabat)

SEORANG LAGI HAFIZ BERJAYA DILAHIRKAN

Alhamdulillah, pada jam 8.29 malam bersamaan 14 November 2016, satu lagi detik bersejarah berjaya dirakamkan di bumi AQSA yang penuh barakah. Adik Khairul Anwar bin Baharudin telah selamat bergelar hafiz setelah berjaya menamatkan hafalan 30 juzu’ Al-Quran.

Tiada kata-kata yang dapat diucapkan melainkan sujud tanda penuh kesyukuran atas rahmat dan izin Ar-Rahman. Selain para guru, pastinya ibu, ayah dan rakan seperjuangan turut berkongsi kegembiraan yang sukar digambarkan.

Sekalung tahniah diucapkan kepada empunya diri. Semoga Al-Quran yang dihafal mampu menjadi panduan dalam melayari kehidupan serta menjadi pelindung serta syafaat pada saat-saat yang diperlukan. Semoga kejayaan adik Khairul Anwar juga mampu mendorong dan menaikkan semangat rakan-rakan yang lain untuk terus berusaha melengkapkan hafalan.

Ya Allah, terimalah amalan kami sebagai amalan yang soleh. Amin…

 

KEMPEN KESELAMATAN KEBAKARAN

Alhamdulillah, Kempen Keselamatan Kebakaran telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya pada 5 November baru-baru ini. Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga AQSA dan penduduk Taman Sri Janggus. Hal ini dapat dilihat menerusi penglibatan secara langsung dalam aktiviti gotong-royong pembersihan kawasan, penyediaan makanan, penyertaan skuad dan komuniti bomba serta pertandingan-pertandingan yang dianjurkan.

Antara pertandingan yang mendapat sambutan hangat ialah pertandingan mewarna, membentang hos, dan kawad menyelamat. Demonstrasi memadam api menggunakan kaedah ‘stop n rolling’ juga berjaya menambat hati pengunjung. Pameran-pameran daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Penjara, AADK, Jabatan Kesihatan dan beberapa agensi kerajaan yang lain turut menceriakan program di samping pelbagai input dan maklumat yang boleh dimanfaatkan oleh semua.

Para pelajar AQSA amat bertuah kerana berpeluang mendapat pendedahan secara langsung tentang pelbagai agensi kerajaan. Apatah lagi, bagi yang mengambil bahagian dalam pertandingan yang disediakan, ilmu yang diperoleh pastinya akan lebih kekal dalam ingatan dan sangat berbaloi untuk dimanfaatkan.

Sebaik sahaja program tamat, sidang akbar turut diadakan melibatkan para tetamu kehormat.

Pihak maahad mengucapkan jutaan terima kasih atas kerjasama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat, agensi-agensi kerajaan yang lain, Persatuan Penduduk Taman Sri Janggus serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Sesungguhnya program ini memberi banyak manfaat kepada masyarakat. Semoga program seperti ini akan dapat diteruskan lagi pada masa-masa akan datang.

SUASANA MINGGU PEPERIKSAAN

Peperiksaan Akhir Tahun 2016 telah pun bermula pada 7 November yang lalu. Bermula dengan subjek Al-Quran, subjek-subjek lain turut menyusul dan dijadualkan tamat pada 18 November ini. Didoakan agar anak didik AQSA dapat melakukan yang terbaik serta memperoleh keputusan yang cemerlang dalam semua mata pelajaran. Doa para guru dan ibu bapa mengiringi perjuangan kalian.

Semoga terus berjaya!!!

Temuduga pelajar 2017

Temuduga pengambilan pelajar Thanawi 1 2017 telah diadakan baru-baru ini. Seramai 10 orang calon telah terpilih untuk diterima masuk ke Maahad Tahfiz AQSA pada tahun hadapan. Berikutan kekosongan yang masih ada, temuduga kedua akan diadakan pada 21 November 2016 ini.

Kepada pelajar/waris yang berminat, sila dapatkan borang permohonan di pejabat AQSA dengan kadar segera. Tempat terhad!!

KEBERKATAN DAN KELEBIHAN HARI JUMAAT

a) Pengenalan

Begitu besarnya hikmah hari Jumaat atau dalam bahasa Arabnya “Jumu’ah” yang berasal daripada perkataan “jama’a”, bermakna ‘berkumpul’. Berkumpul yang dimaksudkan di sini ialah menunaikan solat dan mendapatkan ilmu (melalui khutbah) dengan ‘duduk sama rendah berdiri sama tinggi’ bersama-sama jemaah lain tanpa mengira warna kulit atau pangkat, kekayaan, dan keupayaan. Pada waktu inilah nilai manusia itu sama, yang membezakannya hanyalah iman dan taqwa yang terbit tanpa disedari. Oleh hal yang demikian itu, hari Jumaat dikatakan hari untuk umat Islam berkumpul, memanjatkan doa serta membuat pelbagai amal kebajikan untuk mendapat keredhaan dan rahmat daripada Allah S.A.W.

b) Penghulu Segala Hari

Banyak hadis menerangkan kelebihan hari Jumaat, misalnya hadis Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan Abu Hurairah berkenaan penghulu hari, bermaksud: “Jumaat dinamakan sebagai `Sayyidul Aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).” Katanya Rasulullah SAW bersabda: Kita (umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia) tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat. Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih dahulu daripada kita sedangkan kita sesudah mereka. Kita diberikan petunjuk oleh Allah akan kebenaran yang mereka perselisihkan itu yang Allah telah tunjukkan kepada kita iaitu Hari Jumaat. Maka hari ini (Jumaat) adalah untuk kita. Besok (Sabtu) untuk kaum Yahudi dan lusa (Ahad) untuk kaum Nasrani.

c) Kelebihan Hari Jumaat

Jumaat dikhabarkan sebagai hari yang istimewa dan mulia. Pada hari Jumaat berlakunya lima peristiwa yang penting, iaitu
1) Allah ciptakan Adam ,
2) Allah turunkan Nabi Adam ke bumi,
3) Allah mematikan Nabi Adam,
4) Pada hari itu juga ada satu saat yang tidak ada seorang hamba pun yang memohon sesuatu, kecuali Allah akan perkenankan permohonannya, selagi ia tidak meminta sesuatu yang haram.
5) Pada hari itu juga akan terjadinya hari kiamat. Tidak ada satu malaikat pun, sekalipun yang amat dekat kedudukannya di sisi Allah, langit, bumi, angin, gunung, juga lautan, melainkan kesemuanya memohon belas kasihan pada hari tersebut.
( Riwayat Muslim)

Dalam hadis lain, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat.” (Hadis riwayat Tirmidzi).

d) Kelebihan Solat Jumaat

Solat Jumaat dua rakaat yang difardhukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu semulia hari yang perlu diambil manfaat untuk mendapatkan ganjaran ALLAH daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.

Selain itu, hari Jumaat juga merupakan satu hari yang cukup mustajab dan istimewa untuk kita semua berdoa meminta pertolongan, nur dan hidayah daripada Yang Maha Esa.

Rasulullah bersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu. Sesiapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”

Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan di dalam buku kehadiran malaikat.

e) Malaikat Turun ke Bumi

Setiap hari Jumaat, Allah S.A.W mengutuskan malaikat ke bumi, mencatat nama mereka yang ke masjid. Malaikat-malaikat akan ke langit menyembahkan apa yang dicatatnya. Allah S.W.T mengampunkan dosa-dosa mereka yang datang ke masjid.

Pada hari Jumaat juga, Allah S.W.T mengutus malaikat ke muka bumi. Di tangan mereka kalam-kalam emas, juga kertas-kertas daripada perak, berdiri di pintu-pintu masjid, mencatat nama mereka yang masuk masjid, dan mendirikan sembahyang Jumaat. Apabila telah sempurna sembahyang, mereka kembali ke langit lalu berkata: “Wahai Tuhan kami, kami telah catatkan nama mereka yang masuk masjid dan menunaikan Jumaat.”

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
“ Wahai Malaikat-Ku, demi kemuliaan dan kebesaran-Ku, sesungguhnya Aku telah ampunkan mereka, tidak berdosa sedikit pun.”

f) Kesimpulan

Melalui penerangan itu jelas sekali Jumaat bukan sebarang hari, malah begitu dimuliakan dan sewajarnya ia turut dimuliakan umat Islam.
Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan di dalam buku kehadiran malaikat.
Melalui penerangan itu jelas sekali Jumaat bukan sebarang hari, malah begitu dimuliakan dan sewajarnya ia turut dimuliakan umat Islam.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (YAKIM)
Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM)

Majlis khatam adik Muhammad Ikmal bin Zulkhoiri. Tahniah dan semoga terus berjaya